Make your own free website on Tripod.com

 

PENYATAAN DASAR NASIONAL
SEJAK 1994 1995


 

Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1977 lagi. Penubuhannya bertujuan untuk meningkatkan kegiatan kesarjanaan ahli matematik Malaysia dan mengukuhkan pendidikan matematik di Malaysia. Kini, ahli persatuan ini berjumlah lebih daripada 400 orang daripada kalangan ahli matematik dan guru-guru siswazah. Persatuan ini sedang berusaha untuk menggandakan kewujudannya dengan memperhebatkan lagi segala kegiatan dan perkhidmatannya untuk mempromosikan dan memajukan sains matematik di Malaysia dalam pelbagai aspeknya : penyelidikan, pendidikan dan penerapannya, di samping memupuk kesedaran dan kepenghargaan terhadapnya di kalangan massa, serta menampilkan lagi kehubungannya atau kerelevanannya dengan pelbagai disiplin ilmu dan ragam kegiatan dalam kehidupan manusia bertamadun tinggi supaya tertingkatnya lagi martabat dan citra ilmu dan ilmuwan sains matematik di Malaysia.

 

TUJUAN PENYATAAN DASAR NASIONAL

Penyataan dasar nasional persatuan ini ialah bertujuan untuk:

  1. Membantu pelbagai pihak dalam pemformulasian dan perlaksanaan falsafah, misi, matlamat, objektif dan strategi kegiatan sains  matematik di peringkat nasional.  
  1. Mengartikulasikan isu - isu dasar awam yang berhubung terus, atau yang difikirkan ada hubungannya dengan pembangunan dan  pemajuan sains matematik di Malaysia serta mengetengahkan isu - isu ini kepada pihak awam dan/atau pihak pembuat dasar.

 

SAINS MATEMATIK

Bagi PERSAMA, sains matematik ialah ilmu yang terbit daripada kajian penyukatan, bentuk, pola, struktur, landasan, perubahan dan pemodelannya dalam usaha memerihal, memahami, mengartikulasi, merancang, membuat keputusan, meramal dan sebagainya terhadap sesuatu perkara dan kejadian dalam alam semesta ini dengan menitik-beratkan kepada hubungan dengan Maha Pencipta. Ilmu ini telah melewati sains tabii, kejuruteraan dan teknologi, menyelami atau menjangkau dalam bidang sains hayat, perubatan dan sains sosial. Oleh itu sains matematik, bukanlah bidang ilmu yang dibina atau terbit untuk kepentingannya sendiri sahaja (ringkasnya, sains matematik bukan hanya sebagai "Matematik Tulen", yang citranya "ilmu tidak berguna"). Sains matematik bukan juga hanya bidang ilmu yang terbit daripada pengartikulasian sains tabii dan kejuruteraan sahaja (ringkasnya, bukan hanya sebagai "Matematik Gunaan", yang citranya "bukan matematik"); tidak juga hanya bidang ilmu statistik (yang citranya "data" yang neutral) dan sains komputer (yang citranya "mesin yang handal dan mantik").

Subjek yang terbit atau dilayan dengan menggunakan pemodelan atau/dan pemikiran yang berwahanakan "kaedah matematik" dengan dominannya digolongkan sebagai subjek sains matematik atau sains bermatematik. Oleh itu selain daripada pengelasan sains matematik dengan mudahnya sebagai matematik (matematik tulen, matematik gunaan), statistik dan sains komputer, pengelasan baru kepada bidang sains matematik dewasa ini amatlah diperlukan. Subjek - subjek besar yang telah diiktiraf sebagai sains matematik (sains bermatematik, sains teori atau sains berteori) ialah fizik matematik/matematik fizik, kimia matematik, biologi matematik (termasuk biostatistik, biometri dan biomatematik), matematik kejuruteraan, fisiologi matematik, matematik kepengurusan (sains pengurusan, penyelidikan operasi, sains keputusan, sains sistem), ekonomi matematik (termasuk sosiometrik), psikologi matematik (termasuk psikologi statistik), linguistik matematik, dan lain - lain lagi dengan nama x-matematik, matematik y atau z (ber)matematik.

Ahli - ahli sains matematik yang tersebut di atas merupakan sumber cendekia yang boleh memberi sumbangan yang besar kepada negara dan tamadun amnya. Oleh itu PERSAMA memperakukan komuniti ikhtisas/ilmuwan daripada para ahli sains bermatematik ini sebagai para penyumbang dan "pemain" yang penting dalam pembentukan dan pembinaan serta pengisian dasar sains negara, terutamanya apabila kita mengenangkan betapa kebanyakan daripada mereka ini jugalah berupa pendidik kepada bakal - bakal ahli sains lain, ikhtisas dan bukan ikhtisas, dan guru - guru.

 

MISI

Meletakkan sains matematik dan ilmuwannya ke tahap yang unggul dalam pengartikulasian, pencanggihan, penerokaan, penyatuan ilmu dan pembinaan insan.

 

MATLAMAT

  1.  Mengukir CITRA sains matematik (ilmu dan ilmuwannya) sehingga ilmu dan ilmuwannya jelas amat relevan dengan pembangunan, pengembangan dan pemajuan tamadun bangsa dan negara Malaysia.
  1. Mencipta aras kecemerlangan yang unggul dalam PENDIDIKAN dan PENYELIDIKAN serta PERKHIDMATAN di semua peringkat sains matematik dan massa di Malaysia.
  1. Menyediakan MOTIVASI, SARANA dan WAHANA yang cemerlang dalam komunikasi, dan semua urusan keilmuan   dan keikhtisasan sains matematik di Malaysia.
  1. Memupuk pembinaan dan penghayatan ETIKA dan ADAB keikhtisasan yang mulia di kalangan ilmuwan dan pengikhtisas sains matematik.

 

GOL

  1. Mewujudkan Hadiah Tahunan PERSAMA ( seperti hadiah buku, tesis, siswazah, pelajar, makalah dan sebagainya ) dan badan-badan korporat atau dermawan individu.
  1. Mendapat kerjasama kementerian atau badan-badan tertentu bagi menjayakan projek-projek PERSAMA.
  1. Mempertingkatkan mutu pengeluaran dan penerbitan Warkah Berita, Menemui Matematik dan Buletin PERSAMA sehingga bercitra yang dihormati dan bertaraf yang mengagumkan. Makalah dalam setiap penerbitan ini diperluaskan kepada pelbagai bidang sains matematik di Asia Tenggara dan dunia amnya.
  1. Menerbitkan buku-buku sains matematik dalam bahasa Melayu (Malaysia-Brunei-Indonesia)terutamanya untuk peringkat siswazah.
  1. Mewujudkan taraf ahli felo, memperbanyakkan lagi ahli di kalangan ahli akademik dan guru-guru sekolah sehingga sebahagian besar daripada mereka ini menanggotai persatuan ini.
  1. Mengadakan program-program khas dengan persatuan / kelab-kelab matematik di pusat-pusat pengajian tinggi dan membantu menghidupsuburkan kegiatan kelab/persatuan matematik di sekolah.
  1. Mengadakan kegiatan bersama dengan persatuan-persatuan ikhtisas menerusi seminar bersama dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama.
  1. Mengadakan projek-projek penyelidikan khas yang difikirkan membantu memantapkan budaya matematik di Malaysia, seperti penyelidikan dalam etnomatematik.
  1. Mewujudkan jaringan persahabatan yang akrab dengan persatuan-persatuan matematik di Asia Tengara seperti mengadakan keanggotaan salingan,keanggotaan bersama sidang penyunting jurnal masing-masing, persidangan bersama dan sebagainya.
  1. Menerbitkan "Siapa Sianu Ahli Sains Matematik Malaysia" yang terkemas kini,terandalkan dan cukup tinggi taraf maklumatnya.
  1. Mempertingkatkan mutu dan taraf "Olimpiad" dan "Pertandingan" kepada taraf antarabangsa dan memastikan lebih ramai pelajar Bumiputera menyertainya.
  1. Menanam nilai kebencian kepada kegiatan penciplakan dan perlanggaran hakcipta di kalangan pelajar sains matematik dan ahli sains matematik, dan seterusnya mengurangkan lagi kegiatan fenomenon ini.

 

STRATEGI

  1. Memperluaskan jaringan PERSAMA dengan pelbagai pihak terutamanya dengan tokoh-tokoh berpengaruh /    berwibawa,badan-badan korporat dan institusi / organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.
  1. Mengambil bahagian yang pantas dan terkehadapan dalam kritikan, pandangan, wacana dan perbincangan isu-isu semasa yang difikirkan ada hubungannya dengan perkembangan sains matematik di Malaysia.
  1. Mewujudkan kegiatan-kegiatan berorientasikan sasaran yang jelas dan memberi dampak yang baik, jelas dan agak pantas.
  1. Menghayati konsep sains matematik yang luas itu dalam segala urusan Persatuan.