PENYATAAN
DASAR NASIONAL
SEJAK 1994 – 1995
Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 1977 lagi. Penubuhannya bertujuan untuk meningkatkan kegiatan kesarjanaan ahli matematik Malaysia dan mengukuhkan pendidikan matematik di Malaysia. Kini, ahli persatuan ini berjumlah lebih daripada 400 orang daripada kalangan ahli matematik dan guru-guru siswazah. Persatuan ini sedang berusaha untuk menggandakan kewujudannya dengan memperhebatkan lagi segala kegiatan dan perkhidmatannya untuk mempromosikan dan memajukan sains matematik di Malaysia dalam pelbagai aspeknya : penyelidikan, pendidikan dan penerapannya, di samping memupuk kesedaran dan kepenghargaan terhadapnya di kalangan massa, serta menampilkan lagi kehubungannya atau kerelevanannya dengan pelbagai disiplin ilmu dan ragam kegiatan dalam kehidupan manusia bertamadun tinggi supaya tertingkatnya lagi martabat dan citra ilmu dan ilmuwan sains matematik di Malaysia.
Penyataan dasar nasional persatuan ini ialah bertujuan untuk:
Bagi PERSAMA, sains matematik ialah ilmu yang terbit daripada kajian penyukatan, bentuk, pola, struktur, landasan, perubahan dan pemodelannya dalam usaha memerihal, memahami, mengartikulasi, merancang, membuat keputusan, meramal dan sebagainya terhadap sesuatu perkara dan kejadian dalam alam semesta ini dengan menitik-beratkan kepada hubungan dengan Maha Pencipta. Ilmu ini telah melewati sains tabii, kejuruteraan dan teknologi, menyelami atau menjangkau dalam bidang sains hayat, perubatan dan sains sosial. Oleh itu sains matematik, bukanlah bidang ilmu yang dibina atau terbit untuk kepentingannya sendiri sahaja (ringkasnya, sains matematik bukan hanya sebagai "Matematik Tulen", yang citranya "ilmu tidak berguna"). Sains matematik bukan juga hanya bidang ilmu yang terbit daripada pengartikulasian sains tabii dan kejuruteraan sahaja (ringkasnya, bukan hanya sebagai "Matematik Gunaan", yang citranya "bukan matematik"); tidak juga hanya bidang ilmu statistik (yang citranya "data" yang neutral) dan sains komputer (yang citranya "mesin yang handal dan mantik").
Subjek yang terbit atau dilayan dengan menggunakan pemodelan atau/dan pemikiran yang berwahanakan "kaedah matematik" dengan dominannya digolongkan sebagai subjek sains matematik atau sains bermatematik. Oleh itu selain daripada pengelasan sains matematik dengan mudahnya sebagai matematik (matematik tulen, matematik gunaan), statistik dan sains komputer, pengelasan baru kepada bidang sains matematik dewasa ini amatlah diperlukan. Subjek - subjek besar yang telah diiktiraf sebagai sains matematik (sains bermatematik, sains teori atau sains berteori) ialah fizik matematik/matematik fizik, kimia matematik, biologi matematik (termasuk biostatistik, biometri dan biomatematik), matematik kejuruteraan, fisiologi matematik, matematik kepengurusan (sains pengurusan, penyelidikan operasi, sains keputusan, sains sistem), ekonomi matematik (termasuk sosiometrik), psikologi matematik (termasuk psikologi statistik), linguistik matematik, dan lain - lain lagi dengan nama x-matematik, matematik y atau z (ber)matematik.
Ahli - ahli sains matematik yang tersebut di atas merupakan sumber cendekia yang boleh memberi sumbangan yang besar kepada negara dan tamadun amnya. Oleh itu PERSAMA memperakukan komuniti ikhtisas/ilmuwan daripada para ahli sains bermatematik ini sebagai para penyumbang dan "pemain" yang penting dalam pembentukan dan pembinaan serta pengisian dasar sains negara, terutamanya apabila kita mengenangkan betapa kebanyakan daripada mereka ini jugalah berupa pendidik kepada bakal - bakal ahli sains lain, ikhtisas dan bukan ikhtisas, dan guru - guru.
Meletakkan sains matematik dan ilmuwannya ke tahap yang unggul dalam pengartikulasian, pencanggihan, penerokaan, penyatuan ilmu dan pembinaan insan.